'Langadon Oku Kumaa Hinava' dalam bahasa Kadazan-Dusun bermaksud saya rindu kepada hinava. Apa itu hinava? Lihatlah gambar di atas, itulah hinava.
Saya berasal dari Sabah dan salah satu makanan tradisi kaum saya iaitu kaum Kadazan-Dusun ialah hinava atau juga dikenali sebagai salad ikan mentah. Hidangan ini juga menyerupai sushi kerana isi ikan yang digunakan tidak dimasak. Biasanya, bahan utama hinava ialah ikan namun kadang-kadang sesetengah orang menggunakan sotong atau udang. Resipi hinava adalah seperti berikut:
Bahan-bahan:
* Ikan tenggiri - buangkan tulangnya dan isinya dicincang halus
* 6 ulas bawang merah - dihiris
* 2 ulas bawang putih - dihiris
* 3-4 biji limau kapas/nipis/kasturi - diambil jusnya
* Halia sebesar ibu jari - dihiris
* Peria - dihiris halus
* Cili merah - dihiris halus
* Cili padi - dihiris
Cara-cara:
1. Rendam isi ikan tenggiri dalam air panas selama 1 minit lalu keluarkan.
2. Gaulkan semua bahan yang telah dihiris tadi bersama ikan tenggiri.
3. Tuangkan perahan jus limau ke dalam campuran tersebut dan gaulkan lagi sekali.
4. Hidangkan.
Hinava mempunyai rasa masam dan pedas dan biasanya dimakan dengan nasi. Golongan yang menggemari hinava terdiri daripada pelbagai generasi. Saya ingat lagi, sewaktu saya kecil, saya takut untuk menjamah hidangan ini kerana saya was-was akan sifat ikan tersebut yang tidak dimasak sebelum dihidangkan. Namun setelah pertama kali mencubanya semasa saya berumur 13 tahun, saya mulai menggemarinya dan disebabkan ayah saya suka memancing, saya sentiasa meminta ayah saya untuk mendapatkan ikan dan membuat hinava.
Oleh kerana saya kini berada di Semenanjung Malaysia, sudah lama saya tidak merasa hidangan ini. Sesungguhnya, saya rindu untuk menjamah masakan-masakan tradisional kaum saya terutama sekali hinava.
No comments:
Post a Comment