Kucing hitam di atas bernama Maui dan tinggal di Hawaii bersama pemiliknya, John Hansen. Pada 13 September 2006, Maui telah terkorban dalam satu insiden dimana ia telah diracuni oleh seekor ular yang telah memasuki rumah tuannya sewaktu tuannya tidur. Kejadian ini telah mengejutkan ramai orang di tempat tersebut kerana Maui terkenal sebagai kucing hitam yang selalu diherdik dan dimarah oleh Hansen. Kesanggupan Maui untuk menyelamatkan Hansen dan mengorbankan dirinya telah menyedarkan tuannya yang kini telah menjadi seorang pemilik kedai haiwan yang terkenal di Hawaii.
Percayakah anda akan cerita saya?
Sekiranya ya, maka saya ingin memberitahu bahawa cerita tersebut hanyalah karangan semata-mata. Saya memperoleh gambar kucing hitam tersebut hanya dengan memasukkan carian "kucing hitam" di Google dan menggunakan link gambar tersebut di dalam entri blog ini. Cerita tersebutlah hanyalah khayalan saya semata-mata dan tiada kaitan dengan yang hidup atau yang mati.
Pernahkah anda mengambil masa untuk mengesahkan kesahihan maklumat-maklumat yang anda baca dimana-mana melalui internet sebelum ini?
Pada masa kini, media sosial memberi banyak kesan terhadap masyarakat terutama sekali kepada generasi muda yang sememangnya sebati dengan era teknologi maklumat di hujung jari. Namun begitu, ramai juga yang tertipu dengan informasi yang mereka perolehi melalui media sosial seperti Twitter, Facebook dan lain-lain. Meskipun isu ini kelihatan kecil, namun sekiranya berlanjutan ianya boleh menjurus kepada terjadinya jenayah siber.
Pemalsuan maklumat boleh mencelarukan minda seseorang individu itu. Oleh itu, sesuatu maklumat yang diperolehi melalui dunia maya hendaklah disahkan kebenarannya dahulu sebelum disebarkan kepada awam. Lebih-lebih lagi dalam zaman kini dimana teknologi dan internet memainkan peranan yang besar dalam kehidupan seharian kita.
Kesimpulannya, bukan hanya generasi muda pada masa kini yang perlu diawasi namun juga generasi lama kerana mereka juga berpotensi menjadi mangsa. Hal ini kerana mereka membesar tidak ditemani oleh gadget maka mereka kurang dapat membiasakan diri dengan isu-isu keselamatan dalam menggunakan gadget dan teknologi canggih yang ada sekarang. Dengan memastikan polemik ini tidak berlanjutan, maka lebih mudahlah bagi masyarakat untuk memfokuskan penggunaan teknologi sebagai alat pemangkin negara ke masa depan yang lebih cerah.
No comments:
Post a Comment