Saturday, 29 October 2016

BBK3410: Bumi Yang Sakit

Jam menunjukkan pukul 7 pagi dan kelas pertama pada hari itu bermula pada pukul 8 pagi.  Aku tergesa-gesa melangkah keluar daripada bilik namun aku terkejut apabila melihat ramai orang berpusu-pusu membawa baldi kosong masing-masing ke bilik air.  Dari jauh kelihatan rakan sebilikku brjalan terjengket-jengket ke arahku sambil mengangkat sebaldi air lalu aku mengajukan soalan kepadanya.
"Ada apa kecoh-kecoh ni?" 
 "Ying, I kejut you tadi tapi you tak bangun. You tahu tak, kolej kita tak ada air lagi!"

Isu ketiadaan bekalan air sering terjadi di kolej yang saya duduki.  Sebagai pelajar tahun pertama di Universiti Putra Malaysia, pengalaman pertama ketiadaan bekalan air di kolej telah memberikan saya satu kejutan yang besar.  Saya amat terkejut kerana bekalan air tiada untuk mandi, membasuh baju dan lain-lain di kolej.  Perkara ini berlanjutan selama satu hingga dua hari sebelum bekalan air kembali pulih seperti normal.



Sehubungan dengan itu, saya kemudiannya mendapat tahu bahawa rupa-rupanya masalah ini bukan hanya terjadi di kolej kediaman saya tetapi juga di daerah-daerah lain seperti Hulu Langat dan Sepang.  Saya mendapat maklumat bahawa gangguan kepada bekalan air paip adalah disebabkan penutupan loji rawatan air di Sungai Semenyih yang berpunca daripada pencemaran bau.





Pencemaran adalah merupakan salah satu polemik yang besar dalam dunia masa kini.  Bumi yang dulunya indah kini semakin kotor dan tercemar disebabkan oleh kelalaian manusia yang tamak mengejar kemajuan pada era pascainovasi ini.  Terdapat banyak jenis pencemaran dan pencemaran bau adalah salah satu daripadanya.  Contoh-contoh lain ialah pencemaran darat, udara dan bunyi.



Pencemaran darat adalah salah satu jenis pencemaran yang sering terjadi disebabkan sikap manusia yang suka membuang sampah merata-rata.  Manakala seperti namanya, pencemaran udara berlaku apabila udara yang kita hirup ini tercemar dan mempunyai unsur-unsur yang membahayakan tubuh badan kita seperti karbon monoksida yang berlebihan.  Pencemaran bunyi pula ialah pencemaran yang melibatkan bunyi yang tidak menyenangkan kepada telinga dan mengganggu persekitaran.



Pencemaran bukan sahaja membawa banyak kesan buruk terhadap bumi yang kita diami tetapi juga kepada diri kita sendiri.  Dari spesies homo sapiens sehinggalah flora dan fauna, setiap benda hidup yang tinggal di bumi akan terkesan oleh pencemaran yang berlaku.  Namun impak yang paling berat pastinya akan ditanggung oleh bumi kita kerana bumilah tempat kita berpijak.



Oleh itu, kita hendaklah bertindak sebelum dunia yang telah kita duduki sejak azali ini musnah disebabkan perbuatan kita sendiri.  Kita hendaklah bermula dari sekarang kerana kita tidak boleh menunggu ianya menjadi sangat-sangat teruk barulah kita mula merawat masalah tersebut.  Bak kata pepatah Inggeris, "prevention is better than cure".  Ini bermaksud, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.  Kalau bukan kita yang bertindak, siapa lagi?

No comments:

Post a Comment