Pada suatu masa dahulu, sebuah kampung hidup dengan makmurnya. Orang kampung menyara kehidupan dengan bercucuk tanam dan semua orang gembira dengan cara hidup mereka. Sehinggalah tiba suatu hari dimana kemarau menimpa, tanaman mereka berhenti tumbuh dengan subur dan menyebabkan penduduk kampung risau kerana mereka beransur-ansur kehilangan sumber makanan mereka.
Dewa Kinorohingan dan isterinya Suminundu yang merupakan pemimpin rakyat pada masa itu kemudiannya cuba menolong mereka dengan pelbagai cara namun semua berakhir dengan kegagalan. Akhirnya, pada suatu malam Kinorohingan bermimpi bahawa nyawa seorang gadis yang sangat mengasihi kampung tersebut perlu dikorbankan dan darahnya harus ditumpahkan ke atas tanah tempat bercucuk tanam agar keadaan boleh pulih menjadi seperti sedia kala.
Apabila mendengarkan hal ini, anak Kinorohingan dan Suminundu iaitu Huminodun telah menawarkan dirinya untuk dikorbankan atas belas kasihnya terhadap manusia dan kaumnya. Kinorohingan dan isterinya pada mulanya membantah namun akhirnya mengikuti kehendak anak mereka. Akhirnya, Kinorohingan membelah tubuh anaknya Huminodun kepada tujuh bahagian sebelum disemadikan mengikut adat.
Tubuh badan Huminodun juga telah membuahkan hasil iaitu pelbagai biji benih dan salah satunya ialah padi. Oleh itu, Huminodun kini dikenali sebagai semangat padi dan pesta menuai iaitu Kaamatan disambut bagi mengenangnya.
Terdapat beberapa versi cerita Huminodun yang mengatakan bahawa semasa kemarau melanda, Bobohizan atau juga dikenali sebagai bomoh telah dipanggil dan Bobohizan tersebutlah yang telah mencadangkan kematian Huminodun demi menyelamatkan kampungnya. Versi lain pula menceritakan bahawa Kinorohingan sendiri yang tidak sanggup mengorbankan manusia dan disebabkan itulah dia mencadangkan anaknya sendiri sebagai korban. Ada juga sumber mengatakan bahawa tubuh badan Huminodun tidak dipotong kepada tujuh bahagian tetapi tujuh batang padi telah diberikan oleh Huminodun kepada ayahnya lalu dia menyuruh ayahnya menanam biji daripada batang-batang tersebut.
Lagenda ini merupakan asas kepada pesta menuai padi atau pesta Kaamatan yang disambut oleh kaum Kadazan-Dusun di Sabah pada setiap penghujung bulan Mei dan sesungguhnya ia membawa makna yang besar kepada penduduk tempatan.