Wednesday, 21 December 2016

BBK3410: Sambil Menyelam Minum Air

Setelah menamatkan pengajian saya dalam program asasi TESL (Teaching English as Second Language) pada bulan April yang lepas, saya telah menghabiskan waktu saya di rumah saya di Pulau Labuan sambil menahan debaran menanti keputusan pengambilan untuk ijazah sarjana muda bagi sesi 2015/2016.

Sepanjang penantian tersebut, saya berasa amat bosan lalu saya bercadang untuk datang ke Semenanjung Malaysia untuk bercuti sambil menjenguk salah seorang rakan baik saya di sini.
Tanpa disangka-sangka, saya mendapat berita seminggu sebelum tarikh pelepasan saya bahawa saya telah ditawarkan satu ujibakat serta temu ramah di Universiti Malaya bagi pengambilan pelajar Bacelor Drama di universiti tersebut. Kebetulan pula temu ramah tersebut berlangsung pada hari terakhir percutian saya. Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air, saya pun datang ke semenanjung Malaysia dengan hati yang gembira dan bersyukur dengan panggilan ujibakat serta temu ramah tersebut.


Gambar semasa berada di dalam kapal terbang

Sesampainya saya di KLIA 2 (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2), saya telah dikejutkan oleh rakan-rakan saya yang rupa-rupanya telah sedia menunggu saya pada waktu itu. Kegembiraan saya tidak dapat saya utarakan kerana sudah lama tidak bertemu dengan mereka.
Setelah menjemput saya di lapangan terbang, kami kemudiannya keluar makan bersama ke restoran terdekat dan berborak sehingga malam sebelum pulang ke rumah salah seorang sahabat saya di Nilai, Negeri Sembilan.

Hari kedua - Berjalan-jalan di sekitar Nilai

Pada keesokkan harinya, saya dan rakan saya kemudiannya mengambil keputusan untuk bersiar-siar di sekitar Nilai.  Setelah puas berjalan, malam itu kami mengambil keputusan untuk menjamu selera di salah sebuah restoran steambot kegemaran rakan saya. Suasana makan malam kami penuh dengan gelak ketawa kerana perasaan rindu yang telah lama tersimpan di dada masing-masing setelah lama tidak bertemu akhirnya dapat dilepaskan.

Malam kedua - Makan malam di Restoran Steambot Malaya, Kota Warisan, Selangor

Keesokan harinya, kami memutuskan untuk mengisi masa pada waktu pagi dengan menonton televisyen di rumah. Salah satu pekara yang tidak dapat saya lupakan sepanjang percutian ini ialah keluarga rakan baik saya. Meskipun baru pertama kali bertemu saya, mereka melayan saya dengan amat baik. Hal ini menyebabkan saya berasa sangat rindu akan mereka setelah pulang daripada percutian tersebut.
Setelah menghabiskan waktu siang dengan keluarga sahabat saya, saya dan rakan saya kemudiannya keluar ke pusat membeli belah pada malam itu.  Setelah puas mencuci mata dan membeli-belah, kami telah mengalas perut di salah sebuah restoran makanan Jepun yang memang terkenal iaitu Sushi King.


Malam ketiga - Makan malam di Sushi King, Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur

Hari keempat ialah hari terakhir percutian tersebut.  Selain itu, hari keempat juga adalah merupakan tarikh ujibakat serta temu ramah saya di Universiti Malaya. Saya telah bertolak ke Universiti Malaya seawal jam 6 pagi kerana ujibakat serta temu ramah tersebut bermula pada jam 8 pagi. 
Ditemani oleh rakan saya dan juga pak cik kepada rakan saya yang telah sudi menghantar kami, perjalanan tersebut mengambil masa selama hampir 2 jam kerana kesesakan lalu lintas.  Hal ini telah menyebabkan saya lewat sejam. Namun begitu, saya bersyukur kerana mereka telah sangup menghantar saya.
Meskipun lewat sejam, saya bertuah kerana masih diberikan peluang untuk mengambil ujian seterusnya menghadiri ujibakat dan akhir sekali ditemuramah. Meskipun saya berasa amat gementar namun kerana adanya rakan saya menanti sepanjang ujibakat tersebut, saya berasa lebih tenang.


Hari keempat - Temu ramah di Universiti Malaya

Pada malam keempat, akhirnya saya bertolak ke KLIA 2 dan menaiki kapal terbang untuk balik ke Labuan. Empat hari yang berlalu terasa amat singkat pada saya dan rakan saya. Kebaikan hati keluarga rakan saya yang telah membenarkan saya menetap di rumah mereka juga tidak akan saya lupakan.

3 comments:

  1. Hai sis.. Seronok bace blog sis... Sis ceritalah pengalaman interview n ujibakat tu....blh sis share any useful tips mase interview n ujibakat tu

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hi awak,

      Oleh sebab saya datang lambat, saya terpaksa mengambil ujian pertama seorang diri. Manakala semasa interview dan ujibakat pula saya bersyukur kerana ianya boleh dikatakan berjalan dengan lancar kerana beberapa bulan kemudian, saya telah mendapat panggilan telefon yang mengatakan saya lulus namun atas sebab-sebab tertentu saya terpaksa menolaknya(kini saya menuntut di Universiti Putra Malaysia). Sejujurnya, tidak banyak yang boleh saya ceritakan kerana semua berjalan seperti biasa. Hahaha

      Untuk tips pula, tak banyak saya boleh kongsikan kerana perkara-perkara yang saya lakukan tak ada lah se'special' mana. hahaha.. mungkin yang penting adalah persediaan yang cukup seperti kajian mengenai universiti tersebut atau mana-mana universiti yang kita nak dan kajian mengenai course yang kita nak. semua ini boleh didapati melalui internet ataupun bertanya kepada pelajar-pelajar senior di universiti tersebut. semasa interview dan ujibakat pula, jangan lupa senyum sebab kadang-kadang ada yang nervous sangat sampai lupa nak senyum. hahaha

      Apa-apa pun, terima kasih kerana membaca! :)

      Delete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete