Apabila kelas pertama bermula beberapa bulan yang lepas, saya berasa amat gementar kerana sangka saya, kelas ini berkaitan bakat-bakat kreatif yang ada dalam seseorang murid, namun rupa-rupanya ianya lebih kepada berkarya kreatif dalam bahasa Melayu.
Reaksi saya pada permulaan semester agak kurang memberangsangkan kerana sebelum ini saya mengambil program asasi TESL (Teaching English Second Language) dan sejujurnya, berkarya dalam bahasa Melayu bukanlah forte atau kepakaran saya. Bukan itu sahaja, saya juga telah dilantik sebagai ketua kelas dan pada waktu itu, dunia saya bagai ditunggang-terbalikkan.
Bukan apa, semasa sesi pengenalan diri sahaja saya sudah terlepas cakap dalam bahasa Inggeris dan saya juga mengaku saya kurang membaca karya-karya kreatif yang diterbitkan dalam bahasa Melayu. Pada waktu itu, segala perasaan di dalam hati saya bercampur-baur dan rasa cuak pun ada.
Tidak dinafikan juga bahawa sedikit rasa jengkel hadir dalam hati saya apabila saya dipaksa untuk menyukai puisi dan novel Melayu yang didedahkan semasa kelas. Pendekatan yang dijalankan adalah agak memaksa dijalankan oleh pensyarah kelas tersebut, iaitu Prof. Madya Dr. Kamariah, bagi saya adalah seorang yang lembut dan sedikit tegas.
Namun begitu, setelah menyiapkan tugasan pertama iaitu tugasan menemuramah seorang pengkarya kreatif, tanpa disedari hati saya sedikit tergerak untuk lebih mendalami isi kursus BBK3410 ini, dan bukan hanya melihatnya sebagai subjek yang wajib lulus sahaja. Sepanjang semester satu, sedikit demi sedikit saya mampu membiasakan diri dengan cara pengajaran dan pembelajaran semasa kuliah.
Tanpa saya ketahui, saya telah bersengkang mata untuk membaca beberapa karya kreatif yang telah disyorkan oleh pensyarah saya dan berhempas pulas mengerah tenaga untuk menyiapkan tugasan terkhir iaitu pementasan drama "Oh Saat!" bukan kerana ianya diwajibkan, tetapi krana ianya menyeronokkan. Pada akhir semester juga saya telah mampu berbahasa Melayu dengan lebih baik daripada sebelum ini, meskipun penyusunan ayat saya masih lemah dari segi pertuturan.
Sejujurnya, saya berharap bahawa saya akan mampu terus bergiat aktif dalam bidang penulisan kreatif meskipun terdapat banyak lagi halangan yang perlu saya tempuhi serta kekurangan yang perlu saya perbaiki. Jasa Dr. Kamariah yang telah menyemarakkan semangat saya dan abang Amirul, seorang pelajar ijazah sarjana di universiti sama yang sentiasa membantu saya menguruskan kelas di bawah pimpinan Dr. kamariah, juga tidak akan saya lupakan.
No comments:
Post a Comment