Salah satu perkara yang gemar saya lakukan ialah mengunjungi tempat-tempat baru. Oleh itu, setiap kali cuti bermula, saya tidak akan melepaskan peluang untuk mencari tempat baru bagi dikunjungi.
Pada salah satu cuti semester semasa saya masih berada dalam program asasi TESL (Teaching English Second Language), saya telah mengunjungi i-City yang terletak di Shah Alam, Selangor.
Sejak dari umur setahun jagung lagi, saya amat menggemari lampu-lampu yang berlainan warna. Bagi saya, lampu-lampu tersebut amat cantik dan menarik hati saya. Oleh itu, saya gemar sekali mengunjungi pesta-pesta atau lebih dikenali sebagai fun fairs.
i-City bukan sahaja dikenali dengan lampu LED (diod pemancar cahaya) yang berlainan warna di serata tempat tetapi juga dengan permainan-permainan yang disediakan. Bagi memasuki tempat tersebut, pengunjung hendaklah menggunakan kad i-City yang boleh didapati di pagar masuk serta tertakluk kepada bayaran tertentu.
Selain daripada lampu LED yang menarik perhatian seiapa sahaja yang mengunjungi, terdapat juga muzium-muzium mini yang berbeza konsepnya. Sepanjang keberadaan saya di sana, saya tersenyum lebar kerana tarikan yang terdapat di tempat tersebut tidak putus-putus tersedia.
Sepulangnya saya dari i-City, badan saya terasa amat letih kerana puas berjalan namun senyuman saya masih terlekat di bibir.
Pengalaman yang saya dapat pada waktu itu tidak akan saya lupakan kerana keindahan tempat tersebut telah benar-benar menggembirakan saya. Saya berharap saya mempunyai kesempatan untuk berkunjung ke tempat tersebut lagi pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment