Kalau ditanya nama pulau kegemaran saya, pastinya saya akan menjawab pulau Labuan.
Pulau yang dahulunya pernah menjadi sebahagian daripada kesultanan Brunei ini kini adalah merupakan salah satu daripada tiga wilayah persekutuan di Malaysia selain daripada Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Selain itu, Labuan juga dikenali sebagai pulau bebas cukai seperti pulau Langkawi. Sekiranya hendak bercerita mengenai sejarah pulau Labuan pula, pasti adalah lebih mudah untuk menjenguk tiga muzium yang terdapat di pulau ini sendiri iaitu Muzium Labuan, Muzium Chimney dan Muzium Marin.
Mengapakah pulau ini menjadi pulau kegemaran saya? Ha.. ini kerana meskipun saya berasal dari Sabah, saya menetap di pulau Labuan. Seiring dengan kenyataan ini, saya telah bertemu dengan ramai orang yang menyangka bahawa pulau Labuan, sama seperti pulau-pulau lain di sekitar perairan Sabah contohnya pulau Sapi dan pulau Manukan, adalah merupakan pulau di bawah Sabah. Namun hakikatnya tidak.
Masyarakat pulau Labuan pula majoritinya adalah daripada kaum Melayu Kedayan yang cara berbahasanya adalah lebih kurang dengan Melayu Brunei, namun lebih pekat sedikit.
Antara perkara yang saya suka mengenai pulau yang saya duduki ini ialah konsep bandar dalam taman yang diamalkannya. Konsep ini menerapkan penanaman pokok dan tumbuhan-tumbuhan lain bersama bangunan-bangunan yang dibangunkan. Hasilnya, bandar Labuan kelihatan begitu cerah dan ceria.
Selain itu, terdapat juga lorong-lorong klasik yang belum dimajukan dan ini menampakkan konsep vintage yang juga menjadi salah sebuah tarikan. Lebih-lebih lagi pada penggemar fotografi, tempat-tempat sebeginilah yang sering dicari oleh mereka.
Meskipun Labuan agak kecil, namun tarikan yang ada tidak dapat dinafikan. Bagi mengetahui lebih lanjut, jom lah berkunjung ke Labuan!
No comments:
Post a Comment