Jika dibandingkan dengan rakan sekelas BBK3410 yang lainnya, saya mengaku bahawa saya tidak sefasih mereka dalam bertutur dan berbahasa Melayu dengan betul.
Namun begitu, saya tidak ingin menggunakan alasan "saya bukan berasal daripada kaum Melayu" untuk menyokong kekurangan saya. Sejujurnya, saya sentiasa ingin belajar untuk berbahasa Melayu dengan betul kerana saya hidup di sebuah negara yang berbilang kaum dan bahasa Melayu adalah merupakan salah satu cara bagi mengeratkan silaturrahim di antara semua rakyat.
Era kini, satu trend buku yang semakin meningkat naik ialah kewujudan buku-buku Fixi. Genre ini mengetengahkan novel-novel urban dan kontemporari yang sejujurnya pada pandangan saya, lebih digemari oleh anak-anak muda pada masa kini.
Sebagai salah seorang daripada mereka yang juga membaca novel-novel Fixi, saya mendapat kritikan daripada pelbagai pihak yang mengatakan bahawa novel-novel tersebut tidak boleh dianggap sejajar dengan novel-novel sastera seperti yang ditulis oleh penulis-penulis veteran. Apabila saya bertanya mengapa, jawapan mereka ialah kerana bahasa yang digunakan serta jalan cerita yang disampaikan.
Beberapa bulan sebelum ini, saya dan beberapa orang rakan sekelas saya telah menemu-ramah salah seorang Sasterawan Negara kita yang terkenal iaitu Datuk A. Samad Said dan ayat beliau yang paling saya ingat ialah:
"Apa yang penting ialah kemampuan karya itu sebagai perakam sesebuah zaman"
Selaras dengan ini, saya berfikir, sekiranya karya-karya seperti novel-novel Fixi itu merakam zaman kini yang sedang kita duduki, apakah salahnya?
Barangkali, ianya bergantung kepada seseorang individu itu untuk menilai apa yang baik dan buruk pada matanya juga pada bahan bacaannya.
"Duduk dan biarkan jawapan muncul sendiri." - Anonymous
No comments:
Post a Comment