Wednesday, 21 December 2016

BBK3410: Akhir Kata

Apabila kelas pertama bermula beberapa bulan yang lepas, saya berasa amat gementar kerana sangka saya, kelas ini berkaitan bakat-bakat kreatif yang ada dalam seseorang murid, namun rupa-rupanya ianya lebih kepada berkarya kreatif dalam bahasa Melayu.

Reaksi saya pada permulaan semester agak kurang memberangsangkan kerana sebelum ini saya mengambil program asasi TESL (Teaching English Second Language) dan sejujurnya, berkarya dalam bahasa Melayu bukanlah forte atau kepakaran saya.  Bukan itu sahaja, saya juga telah dilantik sebagai ketua kelas dan pada waktu itu, dunia saya bagai ditunggang-terbalikkan.

Bukan apa, semasa sesi pengenalan diri sahaja saya sudah terlepas cakap dalam bahasa Inggeris dan saya juga mengaku saya kurang membaca karya-karya kreatif yang diterbitkan dalam bahasa Melayu.  Pada waktu itu, segala perasaan di dalam hati saya bercampur-baur dan rasa cuak pun ada.

Tidak dinafikan juga bahawa sedikit rasa jengkel hadir dalam hati saya apabila saya dipaksa untuk menyukai puisi dan novel Melayu yang didedahkan semasa kelas.  Pendekatan yang dijalankan adalah agak memaksa dijalankan oleh pensyarah kelas tersebut, iaitu Prof. Madya Dr. Kamariah, bagi saya adalah seorang yang lembut dan sedikit tegas.

Namun begitu, setelah menyiapkan tugasan pertama iaitu tugasan menemuramah seorang pengkarya kreatif, tanpa disedari hati saya sedikit tergerak untuk lebih mendalami isi kursus BBK3410 ini, dan bukan hanya melihatnya sebagai subjek yang wajib lulus sahaja.  Sepanjang semester satu, sedikit demi sedikit saya mampu membiasakan diri dengan cara pengajaran dan pembelajaran semasa kuliah.

Tanpa saya ketahui, saya telah bersengkang mata untuk membaca beberapa karya kreatif yang telah disyorkan oleh pensyarah saya dan berhempas pulas mengerah tenaga untuk menyiapkan tugasan terkhir iaitu pementasan drama "Oh Saat!" bukan kerana ianya diwajibkan, tetapi krana ianya menyeronokkan.  Pada akhir semester juga saya telah mampu berbahasa Melayu dengan lebih baik daripada sebelum ini, meskipun penyusunan ayat saya masih lemah dari segi pertuturan.

Sejujurnya, saya berharap bahawa saya akan mampu terus bergiat aktif dalam bidang penulisan kreatif meskipun terdapat banyak lagi halangan yang perlu saya tempuhi serta kekurangan yang perlu saya perbaiki.  Jasa Dr. Kamariah yang telah menyemarakkan semangat saya dan abang Amirul, seorang pelajar ijazah sarjana di universiti sama yang sentiasa membantu saya menguruskan kelas di bawah pimpinan Dr. kamariah, juga tidak akan saya lupakan.


BBK3410: Fixi

Jika dibandingkan dengan rakan sekelas BBK3410 yang lainnya, saya mengaku bahawa saya tidak sefasih mereka dalam bertutur dan berbahasa Melayu dengan betul.

Namun begitu, saya tidak ingin menggunakan alasan "saya bukan berasal daripada kaum Melayu" untuk menyokong kekurangan saya.  Sejujurnya, saya sentiasa ingin belajar untuk berbahasa Melayu dengan betul kerana saya hidup di sebuah negara yang berbilang kaum dan bahasa Melayu adalah merupakan salah satu cara bagi mengeratkan silaturrahim di antara semua rakyat.

Era kini, satu trend buku yang semakin meningkat naik ialah kewujudan buku-buku Fixi.  Genre ini mengetengahkan novel-novel urban dan kontemporari yang sejujurnya pada pandangan saya, lebih digemari oleh anak-anak muda pada masa kini.

Sebagai salah seorang daripada mereka yang juga membaca novel-novel Fixi, saya mendapat kritikan daripada pelbagai pihak yang mengatakan bahawa novel-novel tersebut tidak boleh dianggap sejajar dengan novel-novel sastera seperti yang ditulis oleh penulis-penulis veteran.  Apabila saya bertanya mengapa, jawapan mereka ialah kerana bahasa yang digunakan serta jalan cerita yang disampaikan.

Beberapa bulan sebelum ini, saya dan beberapa orang rakan sekelas saya telah menemu-ramah salah seorang Sasterawan Negara kita yang terkenal iaitu Datuk A. Samad Said dan ayat beliau yang paling saya ingat ialah:

"Apa yang penting ialah kemampuan karya itu sebagai perakam sesebuah zaman"

Selaras dengan ini, saya berfikir, sekiranya karya-karya seperti novel-novel Fixi itu merakam zaman kini yang sedang kita duduki, apakah salahnya?

Barangkali, ianya bergantung kepada seseorang individu itu untuk menilai apa yang baik dan buruk pada matanya juga pada bahan bacaannya.

"Duduk dan biarkan jawapan muncul sendiri." - Anonymous

BBK3410: Kota Cahaya

Salah satu perkara yang gemar saya lakukan ialah mengunjungi tempat-tempat baru.  Oleh itu, setiap kali cuti bermula, saya tidak akan melepaskan peluang untuk mencari tempat baru bagi dikunjungi.

Pada salah satu cuti semester semasa saya masih berada dalam program asasi TESL (Teaching English Second Language), saya telah mengunjungi i-City yang terletak di Shah Alam, Selangor.


Sejak dari umur setahun jagung lagi, saya amat menggemari lampu-lampu yang berlainan warna.  Bagi saya, lampu-lampu tersebut amat cantik dan menarik hati saya.  Oleh itu, saya gemar sekali mengunjungi pesta-pesta atau lebih dikenali sebagai fun fairs.
i-City bukan sahaja dikenali dengan lampu LED (diod pemancar cahaya) yang berlainan warna di serata tempat tetapi juga dengan permainan-permainan yang disediakan.  Bagi memasuki tempat tersebut, pengunjung hendaklah menggunakan kad i-City yang boleh didapati di pagar masuk serta tertakluk kepada bayaran tertentu.


Selain daripada lampu LED yang menarik perhatian seiapa sahaja yang mengunjungi, terdapat juga muzium-muzium mini yang berbeza konsepnya.  Sepanjang keberadaan saya di sana, saya tersenyum lebar kerana tarikan yang terdapat di tempat tersebut tidak putus-putus tersedia.
Sepulangnya saya dari i-City, badan saya terasa amat letih kerana puas berjalan namun senyuman saya masih terlekat di bibir.


Pengalaman yang saya dapat pada waktu itu tidak akan saya lupakan kerana keindahan tempat tersebut telah benar-benar menggembirakan saya.  Saya berharap saya mempunyai kesempatan untuk berkunjung ke tempat tersebut lagi pada masa akan datang.

BBK3410: Labuan

Kalau ditanya nama pulau kegemaran saya, pastinya saya akan menjawab pulau Labuan.

Pulau yang dahulunya pernah menjadi sebahagian daripada kesultanan Brunei ini kini adalah merupakan salah satu daripada tiga wilayah persekutuan di Malaysia selain daripada Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Selain itu, Labuan juga dikenali sebagai pulau bebas cukai seperti pulau Langkawi.  Sekiranya hendak bercerita mengenai sejarah pulau Labuan pula, pasti adalah lebih mudah untuk menjenguk tiga muzium yang terdapat di pulau ini sendiri iaitu Muzium Labuan, Muzium Chimney dan Muzium Marin.

Mengapakah pulau ini menjadi pulau kegemaran saya? Ha.. ini kerana meskipun saya berasal dari Sabah, saya menetap di pulau Labuan.  Seiring dengan kenyataan ini, saya telah bertemu dengan ramai orang yang menyangka bahawa pulau Labuan, sama seperti pulau-pulau lain di sekitar perairan Sabah contohnya pulau Sapi dan pulau Manukan, adalah merupakan pulau di bawah Sabah. Namun hakikatnya tidak.

Masyarakat pulau Labuan pula majoritinya adalah daripada kaum Melayu Kedayan yang cara berbahasanya adalah lebih kurang dengan Melayu Brunei, namun lebih pekat sedikit.


Antara perkara yang saya suka mengenai pulau yang saya duduki ini ialah konsep bandar dalam taman yang diamalkannya.  Konsep ini menerapkan penanaman pokok dan tumbuhan-tumbuhan lain bersama bangunan-bangunan yang dibangunkan.  Hasilnya, bandar Labuan kelihatan begitu cerah dan ceria.



Selain itu, terdapat juga lorong-lorong klasik yang belum dimajukan dan ini menampakkan konsep vintage yang juga menjadi salah sebuah tarikan.  Lebih-lebih lagi pada penggemar fotografi, tempat-tempat sebeginilah yang sering dicari oleh mereka.

Meskipun Labuan agak kecil, namun tarikan yang ada tidak dapat dinafikan.  Bagi mengetahui lebih lanjut, jom lah berkunjung ke Labuan!

BBK3410: Sambil Menyelam Minum Air

Setelah menamatkan pengajian saya dalam program asasi TESL (Teaching English as Second Language) pada bulan April yang lepas, saya telah menghabiskan waktu saya di rumah saya di Pulau Labuan sambil menahan debaran menanti keputusan pengambilan untuk ijazah sarjana muda bagi sesi 2015/2016.

Sepanjang penantian tersebut, saya berasa amat bosan lalu saya bercadang untuk datang ke Semenanjung Malaysia untuk bercuti sambil menjenguk salah seorang rakan baik saya di sini.
Tanpa disangka-sangka, saya mendapat berita seminggu sebelum tarikh pelepasan saya bahawa saya telah ditawarkan satu ujibakat serta temu ramah di Universiti Malaya bagi pengambilan pelajar Bacelor Drama di universiti tersebut. Kebetulan pula temu ramah tersebut berlangsung pada hari terakhir percutian saya. Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air, saya pun datang ke semenanjung Malaysia dengan hati yang gembira dan bersyukur dengan panggilan ujibakat serta temu ramah tersebut.


Gambar semasa berada di dalam kapal terbang

Sesampainya saya di KLIA 2 (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2), saya telah dikejutkan oleh rakan-rakan saya yang rupa-rupanya telah sedia menunggu saya pada waktu itu. Kegembiraan saya tidak dapat saya utarakan kerana sudah lama tidak bertemu dengan mereka.
Setelah menjemput saya di lapangan terbang, kami kemudiannya keluar makan bersama ke restoran terdekat dan berborak sehingga malam sebelum pulang ke rumah salah seorang sahabat saya di Nilai, Negeri Sembilan.

Hari kedua - Berjalan-jalan di sekitar Nilai

Pada keesokkan harinya, saya dan rakan saya kemudiannya mengambil keputusan untuk bersiar-siar di sekitar Nilai.  Setelah puas berjalan, malam itu kami mengambil keputusan untuk menjamu selera di salah sebuah restoran steambot kegemaran rakan saya. Suasana makan malam kami penuh dengan gelak ketawa kerana perasaan rindu yang telah lama tersimpan di dada masing-masing setelah lama tidak bertemu akhirnya dapat dilepaskan.

Malam kedua - Makan malam di Restoran Steambot Malaya, Kota Warisan, Selangor

Keesokan harinya, kami memutuskan untuk mengisi masa pada waktu pagi dengan menonton televisyen di rumah. Salah satu pekara yang tidak dapat saya lupakan sepanjang percutian ini ialah keluarga rakan baik saya. Meskipun baru pertama kali bertemu saya, mereka melayan saya dengan amat baik. Hal ini menyebabkan saya berasa sangat rindu akan mereka setelah pulang daripada percutian tersebut.
Setelah menghabiskan waktu siang dengan keluarga sahabat saya, saya dan rakan saya kemudiannya keluar ke pusat membeli belah pada malam itu.  Setelah puas mencuci mata dan membeli-belah, kami telah mengalas perut di salah sebuah restoran makanan Jepun yang memang terkenal iaitu Sushi King.


Malam ketiga - Makan malam di Sushi King, Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur

Hari keempat ialah hari terakhir percutian tersebut.  Selain itu, hari keempat juga adalah merupakan tarikh ujibakat serta temu ramah saya di Universiti Malaya. Saya telah bertolak ke Universiti Malaya seawal jam 6 pagi kerana ujibakat serta temu ramah tersebut bermula pada jam 8 pagi. 
Ditemani oleh rakan saya dan juga pak cik kepada rakan saya yang telah sudi menghantar kami, perjalanan tersebut mengambil masa selama hampir 2 jam kerana kesesakan lalu lintas.  Hal ini telah menyebabkan saya lewat sejam. Namun begitu, saya bersyukur kerana mereka telah sangup menghantar saya.
Meskipun lewat sejam, saya bertuah kerana masih diberikan peluang untuk mengambil ujian seterusnya menghadiri ujibakat dan akhir sekali ditemuramah. Meskipun saya berasa amat gementar namun kerana adanya rakan saya menanti sepanjang ujibakat tersebut, saya berasa lebih tenang.


Hari keempat - Temu ramah di Universiti Malaya

Pada malam keempat, akhirnya saya bertolak ke KLIA 2 dan menaiki kapal terbang untuk balik ke Labuan. Empat hari yang berlalu terasa amat singkat pada saya dan rakan saya. Kebaikan hati keluarga rakan saya yang telah membenarkan saya menetap di rumah mereka juga tidak akan saya lupakan.

Tuesday, 20 December 2016

BBK3410: Sindrom Peter Pan

Dua minggu lepas, saya telah menyertai sebuah produksi teater di Universiti Putra Malaysia(UPM) dalam menjayakan sebuah pementasan teater yang berlangsung selama dua hari di Panggung Percubaan, UPM, bertajuk "Peter Pan".


Semasa pembikinan 'teaser' beberapa mingu sebelum pementasan

Peter Pan adalah merupakan sebuah  watak yang dicipta oleh seorang penulis yang berasal dari Scotland, J. M. Barrie.  Peter Pan dikenali sebagai seorang budak lelaki yang tidak akan membesar dan hanya kekal sebagai sebagai kanak-kanak selama-lamanya.  Dalam pementasan tersebut, saya telah berlakon sebagai Tootles, iaitu salah seorang daripada The Lost Boys yang tinggal bersama Peter Pan di Neverland.

Kostum watak Tootles

Seramai lebih kurang 1000 penonton telah datang menonton pementasan tersebut selama ianya berlangsung. Boleh dikatakan bahawa ia telah berlangsung dengan jayanya.

Bersama beberapa orang pelakon lain setelah tamatnya pementasan


Pernahkah anda dengar tentang Sindrom Peter Pan?  Ianya bukanlah sindrom rindu selepas tamatnya pementasan Peter Pan (walaupun itu adalah apa yang saya rasakan), tetapi sindrom Peter Pan ialah satu sindrom psikologi yang tanpa kita sedar telah menyerang sebahagian besar anak-anak muda kita pada zaman kini. 

Menurut statistik yang dikumpul sehingga September 2015, seramai 461,000 orang terpaksa menganggur di Malaysia.  Sebab-sebab pengangguran ini datang daripada pelbagai aspek namun tidak dinafikan bahawa ketiadaan usaha daripada individu itu sendiri merupakan salah satu penyebab.

Seperti yang telah dinyatakan oleh Nemko dalam artikelnya yang bertajuk The Peter Pan Syndrom: Why Smart People Fail (Sindrom Peter Pan: Mengapa Para Cerdik Pandai Gagal), terdapat tujuh ciri-ciri pemilik sindrom Peter Pan iaitu:

1. Tiada keinginan untuk mula atau terus bekerja apabila kehilangan motivasi
2. Kurang fokus
3. Kurang minat dalam bersosial untuk mencari kenalan dalam bidang pekerjaan
4. Menggunakan alasan 'mengejar impian tinggi' untuk tidak bekerja
5. Penyalahgunaan dadah atau alkohol
6. Menyalahkan orang lain (ahli keluarga, kawan, dll.) atas kegagalan sebelum itu
7. Pencarian kerja yang tidak teliti



Kesimpulannya, polemik ini boleh membawa masalah besar kepada negara kita sekiranya generasi muda kini tidak melakukan apa-apa bagi mengelakkan sindrom tersebut terus berleluasa.  Selain itu, kerjasama daripada pelbagai pihak juga penting agar negara kita boleh terus maju dan berjaya pada masa hadapan.